PENAMPANG: Semua pemimpin di Sabah diminta terus memberikan fokus kepada pembangunan negeri dan jangan sesekali membuka ruang kepada kerajaan tebuk atap.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, rakyat Sabah pada ketika amat memerlukan politik kestabilan dan rancangan ekonomi yang berkesan, bukannya polemik pihak tertentu mewujudkan kerajaan dengan jalan pintas.
“Saya akan terus dengan pendirian saya selagi saya menjadi Presiden Parti UPKO, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha yang cuba untuk menggantikan mana-mana kerajaan yang ditubuhkan atau pun dipilih selepas perundingan yang sah, selepas perbincangan yang sah untuk menubuhkan kerajaan itu selepas pilihan raya.
“Rakyat memerlukan kestabilan politik itu kerana kestabilan politik itu boleh merencanakan perancangan pembangunan yang lebih berkesan, perancangan ekonomi yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Krismas anjuran pihaknya di Penampang, pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menyatakan desas desus cubaan menggantikan kerajaan persekutuan hanya berasas sekiranya peluang tersebut dibuka oleh para pemimpin di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ewon berkata, pihaknya turut menyambut baik saranan daripada Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang menyarankan kerjasama antara GRS dan PH diteruskan sehingga pilihan raya akan datang.
“Saya percaya memang pun di peringkat kerajaan negeri ini kerajaan GRS dan PH membentuk kabinet yang ada.
“Dan di peringkat Persekutuan pun kita bekerjasama sebagai satu gabungan yang besar Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Deasoka