Jangan bawa en-bloc dokong parti lain, menggugat kerajaan sedia ada – Zahid Hamidi

Jangan bawa en-bloc dokong parti lain, menggugat kerajaan sedia ada – Zahid Hamidi

Kota Kinabalu: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kepada calon-calon UMNO untuk tidak membawa en-bloc dalam mendukung parti lain yang akan mengugat kerajaan yang sedia ada.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru kepada ahli-ahli parti untuk memilih calon terbaik bagi mengukuhkan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri.

“Saya harap anda pilih calon-calon yang terbaik di kalangan yang baik-baik, yang dapat membantu untuk mengukuhkan parti dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri.

“Tokoh-tokoh yang dapat bersama-sama dengan kepimpinan untuk terus memperkasakan UMNO dan mempertahankan kerajaan yang ada.

“Kerana kita tidak mahu ada di kalangan calon-calon yang bergerak, kononnya untuk mengugat kerajaan yang ada, kononnya untuk membawa en-bloc UMNO bagi mendokong parti lain.

“Saya fikir calon-calon yang begitu tidak sama dengan apa yang ada dalam pemikiran arus perdana UMNO,” katanya dalam ucapan sempena Sesi Pengenalan Calon Umno Negeri Sabah, di Magellan Sutera Resort, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO Sabah akan kekal relevan di kepimpinan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Walaupun kita menghadapi pelbagai masalah di Sabah, dulu kita menghadapi masalah ‘inter-party’ iaitu parti-parti di luar Barisan Nasional (BN), tetapi apabila kita membentuk kerajaan GRS-BN, kita menghadapi masalah ‘intra-party’.

“Namun, saya memberi keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung, UMNO Sabah InsyaAllah akan terus kekal relevan dalam arena politik di Sabah ini,” katanya.

Untuk rekod, Bung Moktar merupakan antara lapan calon daripada Sabah yang akan bertanding bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Selain itu, turut bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Mohamad Alamin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Hasnol Ayub, Ghazalie Ansing, Sharif Musa Sharif Mabul dan Julie Sabran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|