Isu Ambalat, kita tidak pernah bersetuju tentang tuntutan: Hajiji

Isu Ambalat, kita tidak pernah bersetuju tentang tuntutan: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan bahawa setakat ini tidak ada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform-platform mesyuarat dua hala (bilateral meeting) yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kekal dengan pendirian jelas, konsisten dan tidak akan berganjak dari apa jua cubaan negara jiran bagi memastikan persempadanan negara khususnya negeri Sabah sentiasa dipelihara dan tidak tergugat.

“Kita tidak pernah bersetuju tentang tuntutan Indonesia di Laut Sulawesi atau Ambalat ini yang kaya dengan hasil seperti gas dan minyak.

“Sekarang masih dalam rundingan, baru-baru ini pada 16 dan 17 (November) yang lalu…satu rundingan juga telah diadakan di Indonesia dan diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Sabah namun belum ada pencapaian apa-apa.

“Jadi pendirian kita tegas dalam perkara ini, kita tidak akan sewenang-wenangnya memberi hak kita dalam isu Laut Sulawesi ini.

“Perkara ini ditangani oleh pihak Kementerian Luar Negara, tetapi kita telah jelaskan kepada Kementerian Luar dan Kerajaan Persekutan bahawa Kerajaan Negeri mesti dimaklumkan di bawa dalam setiap rundingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan diajukan oleh ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam mesyuarat ketiga penggal keempat Sidang DUN Sabah ke-16, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang DUN berkenaan, Mohd Shafie memohon penjelasan kerajaan berhubung status rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi, apa yang dituntut oleh Indonesia dan sama ada perjanjian sudah dibuat atau masih dalam peringkat perundingan.

Tahun ini, isu blok Ambalat menjadi kontroversi susulan terdapat dakwaan yang mengatakan Malaysia menyerahkan blok berkenaan kepada negara jiran, Indonesia.

Bagaimanapun perkara itu telah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tuntutan berkenaan belum diputuskan dan meminta rakyat tidak terpengaruh mana-mana khabar angin yang sengaja menimbulkan kegusaran mengenai isu sempadan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|