Ia pandangan peribadi Yong, tidak mewakili GRS: Hajiji

Ia pandangan peribadi Yong, tidak mewakili GRS: Hajiji


Kota Kinabalu: Kenyataan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berhubung cadangan parti-parti daripada Semenanjung Malaysia tidak bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang bukanlah mewakili suara Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebaliknya cadangan yang dilontarkan oleh Yong itu dilihat bersifat pandangan peribadi sahaja.

“Itu merupakan pandangan peribadi beliau, kita dalam GRS mempunyai tujuh parti gabungan dan perkara ini kita belum bincangkan kerana lama lagi pilihan raya, kira-kira dua tahun lagi.

“Kita sekarang lebih fokus untuk membangunkan negeri, menyelesaikan masalah air, masalah elektrik dan sebagainya yang mana ia lebih menjadi tujuan utama kita, ” katanya, ketika ditemui media, hari ini.

“Saya ingin nyatakanlah, bahawa dalam PRN akan datang, kita adalah dalam Kerajaan Perpaduan termasuklah PH di Sabah”…Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji dalam pada itu menjelaskan, GRS tetap komited bersama dengan parti yang berada di Kerajaan Perpaduan termasuklah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional dan lain-lain bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah nanti.

Jelas beliau, komitmen itu diberkan bagi terus memacukan momentum membangun negeri dan rakyat.

“Saya ingin nyatakanlah, bahawa dalam PRN akan datang, kita adalah dalam Kerajaan Perpaduan termasuklah PH di Sabah.

“Jadi, kita tidak boleh berpisah dengan rakan-rakan kita PH termasuk BN kerana kita mahu bangunkan sabah dan rakyatnya. Janganlah terlampau politik sana sini yang kacau kacau itu”, katanya.

Untuk rekod, Yong sebelum ini, dalam ucapannya pada Ahad sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan SAPP Kota Kinabalu mencadangkan agar parti politik daripada Semenanjung tidak bertanding di dalam PRN Sabah yang akan datang bagi mengelakkan pertindihan calon dalam kalangan parti-parti kerajaan termasuk Perikatan Nasional (PN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|