Hujan berterusan tahap waspada, bahaya di Sabah hingga esok

Hujan berterusan tahap waspada, bahaya di Sabah hingga esok

Kota Kinabalu: Hampir semua bahagian di Sabah diramal mengalami hujan berterusan bermula dari tahap waspada hingga bahaya sejak semalam hingga esok (25 Januari 2023).

Berdasarkan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) malam tadi, hujan berterusan tahap bahaya (merah) dijangka berlaku di bahagian Sandakan dan Kudat yang merangkumi daerah Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan, Pitas dan Kudat.

Pada masa yang sama amaran hujan berterusan tahap buruk (jingga) turut dikeluarkan di bahagian pedalaman, pantai barat, Tawau dan Kudat yang membabitkan daerah Tambunan, Lahad Datu dan Kota Marudu serta semua daerah pantai barat.

Amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) pula dikeluarkan di daerah Tongod dalam bahagian Sandakan, juga berkuatkuasa hingga esok (25 Januari 2023).

Bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai boleh melakukannya melalui laman web rasmi Met Malaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|