Hayati patriotisme dan pupuk perpaduan – Hajiji

Hayati patriotisme dan pupuk perpaduan – Hajiji

Tuaran: Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang adalah masa terbaik untuk menghayati patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Berucap pada program Merdeka Jalur Gemilang di Astaka Padang Tuaran, hari ini, katanya, tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” adalah tepat memandangkan perpaduan kaum dan tolak ansur menjadi tonggak dalam mengekalkan kemerdekaan negara.

Beliau berkata, dalam negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik mesti terus dipupuk dan dilindungi kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang progresif dan kestabilan politik.

“Saya menyeru rakyat untuk bersatu dan bekerjasama untuk melindungi dan mengukuhkan perpaduan di negara kita.

“Menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan terus dikecapi dan tidak diganggu gugat oleh anasir negatif,” katanya.

Begitu juga, katanya, usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya memerlukan sokongan padu daripada semua.

“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat di semua peringkat kritikal dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.

Selaras dengan Bulan Kebangsaan, Hajiji turut menggesa rakyat mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan menggantikan bendera yang rosak dengan yang baharu.

“Marilah kita bersama-sama menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat agar mereka memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang dan identiti bangsa ini,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; Pengerusi SESB dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau; Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee; dan Pengarah Penerangan Negeri, Jainisah Mohd Noor.

Terhadulu, Hajiji telah melancarkan konvoi 17 kenderaan daripada lapan agensi awam dan swasta yang melibatkan 66 peserta.

Tuaran diwakili 100 peserta membabitkan 25 kenderaan yang bergerak ke Kiulu, Tamparuli dan seterusnya ke Kudat.

Konvoi Kembara anjuran Jabatan Penerangan Negeri itu akan menjelajah sejauh 2,300km di seluruh Sabah sehingga 31 Ogos ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|