KOTA KINABALU: Semua rakyat Malaysia diajak untuk terus menyuarakan isu Palestin termasuklah menggunakan media sosial bagi menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis Israel.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, isu terbaru melibatkan keputusan negara Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menolak resolusi gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza amat perlu disuarakan rakyat di negara ini.
“Saya juga meminta rakyat Malaysia untuk terus menyuarakan isu Palestin dan ini termasuk menggunakan media sosial bagi menyuarakan bantahan pembunuhan beramai-ramai ini.
“Isu ini tidak patut reda di negara ini ketika hampir setiap hari rakyat di negara-negara eropah turun ke jalan raya membantah keganasan tentera zionis Israel,” katanya.
Beliau berkata, ketika angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 jiwa, Amerika memilih untuk bertindak bodoh walau 13 negara menyokong resolusi berkenaan.
“Malah sekutu rapat Amerika, United Kingdom (UK) sendiri memilih untuk berkecuali meninggalkan Amerika yang akhirnya membuktikan Amerika satu-satunya negara yang ingin meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
“Alasan bahawa Israel mempertahankan diri juga tidak masuk akal. Mereka mempertahankan diri dari apa? Mempertahankan diri dari lebih 7 ribu kanak-kanak dan empat ribu wanita yang telah mereka bunuh tanpa belas kasihan?
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu merapatkan hubungan dengan China dan Rusia sebagai kuasa besar dunia bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.
Razeef menambah, reformasi perlu dilakukan segera pada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dengan memansuhkan kuasa veto di Majlis Keselamatan agar setiap keputusan yang dibuat adalah adil dan tidak ada satu pihak lebih berkuasa dari pihak yang lain.
Deasoka