ESSCOM lancar OB di Semporna, 102 individu ditahan

ESSCOM lancar OB di Semporna, 102 individu ditahan

Semporna: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seramai 102 individu di 11 lokasi di daerah ini dalam Operasi Bersepadu (OB) yang bermula pada 20 dan berakhir semalam.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner, Datuk Hamzah Ahmad berkata, sepanjang operasi bersepadu itu diadakan di Semporna, pasukan keselamatan memeriksa seramai 1,555.

Pasukan penyelamat yang menjalankan Operasi Bersepadu di Semporna.

“Hasilnya seramai 102 individu ditahan bagi tujuan dokumentasi manakala seramai 14 warga Filipina berusia 17 hingga 47 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

“Sebanyak 11 lokasi di daerah berkenaan termasuk Pulau Bum Bum dan Pondohan di Gugusan Pulau Bodgaya dan Bohey Dulang diperiksa membabitkan pemeriksaan 440 rumah dan premis niaga oleh Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah Semporna (MDS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan ke atas individu dalam OB di sekitar Semporna.

Menurutnya, sepanjang operasi bersepadu itu juga, turut dijalankan pemotongan sambungan haram elektrik dan rampasan sebanyak 110 kilogram kabel elektrik oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Sebanyak tiga keping kompaun dikeluarkan berkaitan dengan keselamatan pengendalian makanan mengikut Akta Makanan 1983 dan dua keping notis kompaun mengikut Market Law Act 1972 atas sebab tamat tempoh lesen berniaga.

Kabel elektrik turut dirampas dalam OB di Semporna.

“JTK juga turut mengeluarkan dua keping notis pematuhan mengikut Ordinan Buruh (Sabah Cap.67) kerana kegagalan majikan menunjukkan salinan penyata gaji kepada pekerja.

“Selain itu, sebanyak 316 kenderaan diperiksa dan 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Antara individu yang ditahan dalam OB di Semporna.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Katanya, operasi bersepadu ini akan terus dilaksanakan bagi mengekang anasir tidak sihat dan eleman jenayah rentas sempadan yang berpotensi dibawa masuk oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai timur Sabah.

“Sehubungan itu, Masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|