DUN Sabah bentang RUU bekalan gas Sabah hari ini

DUN Sabah bentang RUU bekalan gas Sabah hari ini

Kota Kinabalu: Satu persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diadakan hari ini bagi membentang dan meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah.

Persidangan yang bermula jam 10 pagi itu turut membentangkan RUU berkaitan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang akan menyelia penggunaan sumber tenaga termasuk gas di Sabah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyerahan kuasa kawal selia gas Sabah menerusi rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sudah mendapat diperkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Malam tadi, Anwar menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada kelulusan RUU itu yang disifatkannya sebagai sangat penting untuk Sabah.

“Besok (hari ini), satu RUU penting untuk mengembalikan hak Sabah melalui pembentangan menteri Kabinet (persidangan DUN).

“Ini satu perubahan yang besar. Bagi saya ini adalah keutamaan, beri peluang kepada Ketua Menteri untuk bincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

Anwar singgah di sini selepas balik dari lawatan kerja dua hari ke Indonesia malam tadi bagi bertemu pemimpin Sabah, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi membincangkan penyelesaian kemelut politik Sabah.

Penyerahan kawal selia bekalan gas kepada Sabah membolehkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa pentadbiran untuk mengurus sumber gas dan tenaga Sabah yang sebelum ini terletak di tangan Suruhanjaya Tenaga (ST) persekutuan dan PETRONAS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|