Bung sokong cadangan PM wujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah

Bung sokong cadangan PM wujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan Perdana Menteri supaya diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan di Sabah melibatkan seluruh parti politik di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin dan percaya melalui Kerajaan Perpaduan, ianya mampu meredakan suhu dan menstabilkan politik negeri Sabah.

“Saya juga berharap agar Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah, “katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata demikian dalam satu kenyataan rasminya, pagi ini.

Terdahulu, beliau dan pucuk pimpinan parti yang lain telah mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu, malam tadi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Bung Moktar turut mendedahkan sokongannya terhadap rang undang-undang yang akan dibentangkan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

‘Berhubung dengan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-Enam Belas pada 10 Januari (hari ini) sebahagian besar Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“Walaubagaimanapun, saya bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas itu, “katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, pengumuman perkara tersebut akan dapat memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi dan kemakmuran utk rakyat Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|