Covid-19 Sabah: Laporan terakhir Masidi, hanya 6 kes hari ini

Covid-19 Sabah: Laporan terakhir Masidi, hanya 6 kes hari ini

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatat angka jangkitan terendah sejak 3 September 2020 apabila merekodkan hanya enam kes baharu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kadar positiviti juga rendah, iaitu 0.46 peratus daripada 1,295 sampel ujian Covid-19.

Katanya, lima daerah mencatat jangkitan baharu, iaitu dua kes di Tuaran serta masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kota Marudu, Papar dan Sandakan, manakala tiada jangkitan baharu dilaporkan di 22 daerah dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Kesemua enam kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

“Setakat ini, lapan daerah iaitu Ranau, Kalabakan, Tongod, Kunak, Semporna, Kuala Penyu, Pitas dan Nabawan berstatus ‘daerah hijau’ kerana tiada jangkitan baharu selama 14 hari berturut-turut. Hanya daerah Tuaran dan Kota Kinabalu masih berstatus merah,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri mengumumkan rumusan Covid-19 Sahah hari ini adalah yang terakhir dikeluarkan pihaknya.

“Bermula esok (13/01/23), Datuk Dr Joachim Gunsalam akan mengambil-alih tugas ‘menteri penyelaras’ pengurusan Covid-19 di Sabah sesuai dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan / Timbalan Ketua Menteri II.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pengurusan Covid-19 di Sabah khususnya Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Pengarah Kesihatan dan kakitangan Jabatan Kesihatan Sabah, anggota-anggota keselamatan, Sektetariat Covid-19 di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan semua Pejabat Daerah.

“Penghargaan khusus kepada semua pengamal media di Sabah yang banyak membantu saya menyebarkan maklumat penting mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah sejak saya mengambil-alih tanggungjawab ini lebih dua tahun yang lalu.

“Saya amat menghargai sumbangan dan pengorbanan saudara-saudari semua,” katanya.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan dilantik sebagai Menteri Kewangan negeri dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam.

Beliau sebelum ini adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri dan Menteri Kewangan II.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|