Covid-19: Sabah guna pakai SOP kemasukan pengembara dikeluarkan kerajaan persekutuan

Covid-19: Sabah guna pakai SOP kemasukan pengembara dikeluarkan kerajaan persekutuan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan persekutuan berhubung kemasukan pengembara ke Malaysia berkuatkuasa semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata keputusan yang berhubung kait dengan Covid-19 itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet negeri semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew

“Sabah akan mengetepikan keperluan sijil vaksinasi. Kedua, ujian Covid-19 dengan keputusan negatif tidak lagi diperlukan untuk pengembara masuk ke negeri ini.

“SOP ini terpakai kepada pengembara domestik dan asing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bermula 1 Ogos 2022, semua pengembara dibenarkan memasuki Malaysia, tanpa mengira status vaksinasi Covid-19, selain tidak perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum keberangkatan atau ketika ketibaan seperti ditetapkan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Christina berkata, Kabinet negeri turut meluluskan penubuhan Biro Konvensyen Sabah, merangkumi aspek visi, fungsi dan perkhidmatan yang dicadangkan.

“Visinya ialah untuk memastikan Sabah diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai satu daripada bandar raya terbaik dunia dalam penganjuran acara perniagaan.

“Ia juga untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi acara perniagaan yang dinamik yang mana orang ramai, teknologi dan idea digabungkan bagi mewujudkan nilai yang hebat kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, biro berkenaan akan berfungsi sebagai ‘one-stop-shop’ untuk mendapatkan maklumat dan bimbingan, selain memberi khidmat nasihat perancangan dalam semua aspek penganjuran acara konvensyen dan perniagaan di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|