Covid-19: Pengembara luar negara perlu jalani saringan suhu berkuatkuasa 8 Jan

Covid-19: Pengembara luar negara perlu jalani saringan suhu berkuatkuasa 8 Jan

Kota Kinabalu: Semua pengembara dari luar negara perlu menjalani saringan suhu (thermal scanner) sejurus tiba di pintu masuk negeri ini, berkuatkuasa 8 Januari ini.

Jurucakap Perkembangan Harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia merupakan antara keputusan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah, hari ini.

“Semasa ketibaan, semua pengembara dari luar negara dikehendaki untuk menjalani saringan suhu (thermal scanner). Pengembara yang dikesan demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Manakala, pengembara yang mempunyai gejala Covid-19, wajib menjalani ujian RTK Antigen Covid-19. Ketetapan ini berkuatkuasa mulai 8 Januari 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahan itu, Masidi berkata, sebelum berlepas, semua pengembara dari China perlu memastikan mereka lengkap vaksinasi mengikut kriteria negara asal.

“Selain itu, semua pengembara daripada China perlu menunjukkan ujian Covid-19 (RT-PCR/RTK Ag Professional) dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah merekodkan 12 kes baharu hari ini, iaitu penurunan lima kes daripada angka yamg dilaporkan semalam.

“Walaupun sampel ujian jauh lebih banyak hari ini, yakni 1,497 berbanding 933 kelmarin, namunkadar positiviti yang rendah (0.80%) memastikan angka jangkitan berada pada tahap yang rendah.

“Sebanyak tujuh daerah mencatatkan jangkitan baharu, iaitu Tuaran (4 kes), Kota Kinabalu (2 kes), Penampang (2 kes) dan masing-masing 1 kes di Beaufort, Kota Marudu, Tambunan dan Tenom.

“Daripada 12 kes yang dilaporkan hari ini, 10 kes adalah dalam Kategori 2, serta masing-masing satu kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|