Banjir: 12 sekolah rendah, menengah masih terjejas di Sabah

Banjir: 12 sekolah rendah, menengah masih terjejas di Sabah

Kota Kinabalu: Bencana banjir yang berlaku di negeri ini sejak minggu lalu masih memberi kesan kepada sebanyak 12 sekolah rendah dan menengah di lima daerah.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, ia melibatkan seramai 2,910 murid dan 280 guru yang turut dilaporkan terjejas.

“Setakat ini, antara daerah yang terbabit ialah Beluran, Sandakan, Pitas, Telupid dan Beaufort.

“Di Beaufort, terdapat empat sekolah terjejas, iaitu SK Jabang, SK Bangkalalak, SK Suasa dan SK Lago.

“Sementara di Beluran, tiga sekolah terjejas, iaitu SK Sualok, SK Pantai Boring dan SMK Pamol, manakala, di Sandakan hanya satu sekolah terjejas iaitu SK Labuk Subur.

“Sementara itu, dua sekolah yang terlibat di daerah Pitas ialah SK Kusilad dan SMK Pitas 2,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Abidin, dua buah sekolah yang terjejas di Telupid ialah SK Kopuron dan SK Gabungan.

Dalam pada itu, beliau berkata, hampir semua sekolah yang terjejas itu adalah disebabkan oleh banjir, selain ada laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa sekolah juga yang ditutup kerana telah dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa-mangsa banjir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|