ADUN Nabawan perjelas isu permohonan tanah 320 ekar atas namanya

ADUN Nabawan perjelas isu permohonan tanah 320 ekar atas namanya

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin telah tampil membuat pencerahan mengenai permohonan sebidang tanah seluas 320 ekar yang dibuat atas namanya.

Menurutnya, beliau merasa terpanggil untuk membuat perjelasan selepas isu Permohonan Tanah (PT) atas namanya itu dilontarkan oleh ADUN Merotai, Sarifuddin Hata pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Beliau berkata, kawasan tersebut dahulu berada di bawah Hutan Simpan Pensiangan Kelas II yang telah dibubarkan dan kini telah di wartakan sebagai Tanah Kerajaan Tatalaan.

“Pemimpin masyarakat mendapati banyak permohonan daripada orang-orang luar daerah Nabawan dan syarikat-syarikat daripada luar sangat berminat untuk memohon tanah tersebut khususnya pendudukan tanah sementara (TOL) untuk membalak.

“Untuk makluman, hampir semua kawasan membalak dengan syarat TOL adalah sebelum September 2020. Dimaklumkan beberapa lagi penduduk kampung lain tidak mahu tanah ini jatuh ke tangan orang luar dan syarikat-syarikat luar.

“Oleh itu, mereka merancang untuk terlebih dulu memohon kawasan tersebut dengan tujuan menubuhkan koperasi untuk projek ternakan dengan usahasama bersama Lembaga Pembangunan Tanah Negeri Sabah (SLDB),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masalahnya adalah koperasi dalam peringkat pemprosesan permohonan dan pemimpin masyarakat di kawasan tersebut tidak yakin dan amat khuatir tidak dapat bersaing dengan individu-individu dan syarikat yang mempunyai kemampuan dan sumber yang luar biasa.

“Oleh kerana itu, mereka telah berjumpa dan merayu kepada saya agar kalau boleh permohonan ini dibuat atas nama saya bersifat sementara dan dengan syarat pemilikan tanah tersebut akan diserahkan semula kepada mereka yang terlibat dalam perancangan penubuhan koperasi juga sedang diusahakan dengan perancangan yang dicadangkan.

“Setelah membuat pertimbangan, saya setuju dengan cadangan pemimpin masyarakat ini dengan memikirkan, sekiranya permohonan dibuat atas nama saya maka pastilah individu-individu dan syarikat-syarikat berkenaan tidak akan meneruskan memohon kawasan tersebut.

“Pemimpin masyarakat juga beranggapan bahawa menggunakan nama saya adalah merupakan benteng pertahanan sahaja untuk menghalang permohonan individu-individu dan syarikat-syarikat tersebut,” katanya.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi SLDB berkata, selepas mendengar penjelasan dan rayuan mereka, beliau secara ikhlas telah bersetuju tetapi dengan bersyarat.

Menurutnya, sekiranya ada isu-isu negatif yang muncul kerana ini, maka mereka hendaklah bersedia untuk memberikan penjelasan selain perkara ini juga sepatutnya tidak dipolitikkan demi kepentingan mana-mana pihak.

“Integriti dan ketelusan dalam prosedur permohonan tanah ini juga dapat dinilai kerana tidak melanggar dan menggangu prosedur Jabatan Tanah dan Ukur dan PPHT untuk mengemukakan dan membentangkan Notis Permohonan Tanah Kerajaan, seksyen 13 dimana ianya di kemukakan kepada umum mengenai permohonan tanah ini.

“Apabila sampai masanya nanti, saya akan menarik diri, menyerahkan dan perkara ini boleh diteruskan dan diberi milik kepada koperasi yang dicadang itu dan berasal dari daerah Nabawan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|