74 kes sakit perut, muntah dalam masa 3 hari dilapor di Tenom

74 kes sakit perut, muntah dalam masa 3 hari dilapor di Tenom

Kota Kinabalu: Pejabat Kesihatan Daerah Tenom telah menerima sebanyak 74 laporan kes Acute Gastroenteritis (AGE) membabitkan individu dalam lingkungan umur 1 hingga 65 tahun, setakat 5 Januari.

Berdasarkan data, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, gejala terawal dikesan pada 3 Januari 2022.

Menurutnya, kesemua pesakit mengalami gejala sakit perut dan muntah, manakala segelintir mengalami cirit-birit dan demam.

“Kesemua kes telah mendapat rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar, iaitu seramai 15 orang di fasiliti kesihatan kerajaan dan 59 orang di fasiliti swasta.

“Kesemua kes adalah dalam keadaan stabil dan terdapat juga kes yang telah sembuh. Faktor risiko penyebab kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Rose Nani berkata demikian bagi memberi maklum balas mengenai video tular di laman Facebook pada 5 Januari lalu yang mendakwa ramai warga Tenom mengalami gejala cirit-birit dan muntah.

Katanya, hasil siasatan mendapati kes menetap di beberapa lokaliti yang berbeza dab siasatan juga mendapati terdapat kes yang menggunakan air yang tidak dimasak sebelum diminum.

“Aktiviti kawalan yang telah dijalankan adalah siasatan kes, persampelan air di Loji Rawatan Air Senagang, SRO Kalang Dan Auxillary Amboi 1.

“Pemantauan PKD Tenom pada 5 Januari 2023 mendapati keadaan air di loji tersebut adalah jemih dan persampelan air mendapati tiada perlanggaran parameter kekeruhan, klorin, pH dan suhu.

“Ujian lanjut akan djalankan ke atas bekalan air dari loji untuk menentukan sama ada terdapat kehadiran kuman mikroorganisma atau tidak,” katanya.

Sementara itu, beliau turut, sampel najis pesakit yang dirawat di hospital juga telah diambil untuk ujian kuman mikroorganisma.

“Manakala, sampel dari makanan yang dimakan oleh pesakit juga akan dijalankan ujian untuk mengesan kuman mikroorganisma.

“Selain itu, pendidikan kesihatan telah diberikan kepada semua pesakit yang datang ke fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan, seperti gunakan air minuman yang yang telah dimasak, sentiasa amalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan.

“Masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna dan simpan makanan pada suhu yang sesuai dan di tempat yang bersih.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan atau minum,” katanya.

Justeru itu, pihak JKNS akan sentiasa memantau kejadian AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|