5 ADUN kesal tindakan UMNO Sabah

5 ADUN kesal tindakan UMNO Sabah

Kota Kinabalu: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membantah langkah UMNO Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri hari ini tampil menyatakan kekesalan terhadap tindakan itu.

Menerusi kenyataan bersama petang ini, mereka turut meluahkan rasa terkilan kerana Sabah dan rakyatnya sekali lagi diheret ke dalam krisis politik yang tidak bertanggungjawab.

“Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

“Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Lima ADUN UMNO terbabit ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Mereka berkata dikejutkan dengan tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Ketua UMNO Sabah yang berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

“Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan,” kata mereka.

Jelas mereka, seperti mana aspirasi rakyat Sabah, mereka juga mahukan kestabilan politik yang telah wujud selama ini dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan oleh mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

“Bersama-sama kita berdoa semoga kemelut politik ini segera berakhir agar usaha untuk memakmurkan Negeri Sabah yang tercinta ini dapat diteruskan.

“Dengan itu, kami sekali lagi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” kata mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|