3 pembantu menteri baharu angkat sumpah jawatan

3 pembantu menteri baharu angkat sumpah jawatan

Kota Kinabalu: Tiga pembantu menteri yang baharu mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam mewakili Parti Bersatu Sabah (GRS-PBS); ADUN Inanam, Peto Galim (PH-PKR) dan ADUN Likas, Tan Lee Fat (PH-DAP).

Ruslan dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, manakala Peto dan Lee Fat masing-masing dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan serta Pembantu Menteri Kewangan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata selain pelantikan baharu itu, rombakan portfolio bagi jawatan pembantu menteri sedia ada turut dilakukan.

“Pelantikan hari ini dan rombakan pembantu menteri yang dilakukan adalah kesinambungan usaha ke arah mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Pelantikan pembantu menteri ini adalah untuk mengisi jawatan yang dikosongkan bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib yang sekarang menjadi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ia juga untuk mengisi jawatan dikosongkan Datuk Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan untuk memberi laluan kepada yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, empat pembantu menteri sedia ada bertukar portfolio iaitu Datuk Seri Ruddy Awah (Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Harun Durabi (Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Fairuz Renddan (Pembantu Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Andi Suryady Bandy (Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian).

Ruddy dan Fairuz mewakili GRS, manakala Harun dan Andi Suryady mewakili UMNO Barisan Nasional (BN).

Hajiji berkata, beliau menekankan kepentingan untuk kerajaan negeri pimpinannya berfungsi sebagai sebuah pasukan yang berkongsi aspirasi sama yang dibina atas dasar saling mempercayai dan menghormati.

“Kita memerlukan pasukan yang kukuh untuk melaksanakan pembangunan dan menunaikan janji pilihan raya kepada rakyat dan negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|