RM2.55 juta nilai jualah JTDL 2022 FAMA Sabah

RM2.55 juta nilai jualah JTDL 2022 FAMA Sabah

Kota Kinabalu: Penganjuran program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) pada tahun lalu berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM2.55 juta, bagi Sabah dan Labuan.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, Ribin Wahid berkata, penganjurannya turut memberi nilai penjimatan sehingga 10 peratus kepada pengguna, berbanding harga pasaran semasa.

Menurutnya, penglibatan seramai 70 usahawan tempatan di 10 lokasi telah menjana penjimatan jualan sebanyak RM255,000.

Ribin (dua kanan) mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin melawat program JTDL, di Pasar Tani Asia City

“Pada tahun lalu, FAMA Sabah telah berjaya meraih nilai jualan sebanyak RM2.55 juta menerusi program JTDL di 10 lokasi sekitar Sabah dan Labuan.

“Antaranya ialah Pasar Am Membakut, Pasar Tani Kinabatangan, Pasar Tani Sandakan, Pasar Tani Mega Papar dan lain-lain.

“Barangan komoditi yang dijual ialah buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, daging, ikan, telur, makanan dan minuman,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke program JTDL bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, di Pasar Tani Asia City.

Dalam pada itu, beliau berkata, program JTDL menyediakan luang pasaran tambahan bagi produk agromakanan termasuk bekalan ayam dan telur kepada pengguna.

“Ia juga membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui jualan terus kepada pengguna tanpa perantara pasaran.

“Selain itu, ini juga merupakan salah satu daripada peranan kita di bawah keterjaminan makanan dalam memastikan bahawa kebolehan memperoleh barangan sentiasa dalam tahap terkawal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|