Yamani tinjau usaha IPMB tingkatkan industri akuakultur

Yamani tinjau usaha IPMB tingkatkan industri akuakultur

Kota Kinabalu: Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa yang membuat lawatan ke Akuarium dan Muzium Marin serta Hatceri Ikan UMS baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, IPMB berkata lawatan itu bersempena sesi Jelajah Bajet 2023 yang diadakan di Galeri Azman Hashim, UMS.

Sesi diskusi bersama NGO, agensi kerajaan, IPMB dan IBTP UMS di Galeri Azman Hashim, UMS sempena sesi Jelajah Bajet 2023.

“Semasa lawatan itu, beliau diberi penerangan mengenai usaha-usaha IPMB dalam meningkatkan industri akuakultur seperti pengkulturan ikan, latihan dan bengkel kepada pelajar dan komuniti serta penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan.

“IPMB mempunyai akuarium dan muzium marin yang menjadi salah satu tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Sementara itu, hatceri pula dijadikan hab penyelidikan dan tempat pembenihan ikan,” kata kenyataan itu.

Dalam lawatan itu, Yamani Hafez turut kagum melihat projek arca dipanggil Dasar Lautan yang dibuat pelajar UMS menggunakan bahan kitar semula dan sisa plastik yang dikutip dari pantai ODEC UMS.

Sementara itu, semasa sesi Jelajah Bajet 2023 yang memfokuskan isu konservasi, turut terlibat dalam sesi berkenaan ialah wakil agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) serta IPMB.

IPMB dan IBTP yang masing-masing diwakili Pengarah, Prof Dr Sitti Raehanah Muhamad Shaleh dan Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IBTP, Prof Madya Dr Liew Thor Seng juga dijemput untuk membentangkan isu fokus, hasil penyelidikan dan cadangan dari kedua-dua institut dalam konservasi marin dan biodiversiti.

Pensyarah IPMB, Dr Nurzafirah Mazlan, bertindak sebagai pemudah cara sepanjang sesi Focus Group Discussion yang berlangsung selama dua jam.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|