Wujudkan sistem penggal penuh elak pilihan raya mengejut

Wujudkan sistem penggal penuh elak pilihan raya mengejut

Kota Kinabalu: Sudah tiba masanya sistem pilihan raya mengikut penggal penuh diperkenalkan di negara ini sejajar perubahan geopolitik dan zaman yang semakin mencabar.

Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah, Mazlan Joehari Manan, berkata Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya diadakan apabila tamat tempoh penggal kerajaan mengikut takrifan perlembagaan.

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) pula hanya diadakan jika Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sesuatu kawasan meninggal dunia atau hilang kelayakan mengikut undang-undang atau meletakkan jawatan.

“Pilihan raya yang lebih bersistem ini akan lebih memudahkan kerajaan dan rakyat melaksanakan apa sahaja perancangan untuk kemakmuran negara sepanjang tempoh penggal.

“Sistem pilihan raya sebegini akan dapat mengelakkan pilihan raya yang mengejut atas permainan dan kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rakyat akan lebih bersedia menghadapi pilihan raya dengan tarikh dan tempoh yang ditetapkan mengikut perlembagaan.

Jelasnya, banyak negara lain terutama negara maju sudah mengguna pakai sistem penggal penuh dengan tempoh tertentu bagi mereka memilih kerajaan atau Presiden untuk negara mereka.

“Harus diingat bahawa pilihan raya ini untuk memberi peluang kepada rakyat memilih ketua dan kerajaan mereka bagi suatu tempoh yang telah ditetapkan.

“Oleh kerana itu amatlah tidak sesuai dan angkuh sekiranya pilihan raya dilaksanakan atas kepentingan politik kepartian ketika rakyat dalam musibah dan sengsara,” katanya.

Tambahnya, pemimpin politik di seluruh negara wajar mengambil pendekatan terbuka dan ikhlas untuk mempertimbangkan cadangan mewujudkan sistem penggal penuh itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|