SAR hari kedua warga emas hilang diperluas sehingga radius 2 km

SAR hari kedua warga emas hilang diperluas sehingga radius 2 km

Sipitang: Operasi pencarian hari kedua warga emas yang dikhuatiri hilang ketika pergi ke kebunnya di Kampung Ulu, di sini, masih gagal menemui mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian hari ini dijalankan dengan kekuatan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9).

Pasukan bomba bersama penduduk kampung yang menjalankan operasi pencarian warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar ke kebunnya di Kampung Ulu, Sipitang.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan seramai 20 penduduk kampung.

“Operasi SAR sejak pagi tadi membabitkan pencarian dengan jarak dua kilometer radius dan mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR ditangguh pada 5.25 petang tadi dan akan disambung pada esok yang turut dibantu oleh Unit Dron JBPM Sabah.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, lelaki warga emas Asmad Bulat, 81, dikhuatiri hilang selepas keluar seorang diri untuk ke kebun getah dan buah-buahan miliknya.

Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi membantu mencari mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|