Tindakan Shafie salahkan bekas barisan Kabinet tidak adil – Ewon

Tindakan Shafie salahkan bekas barisan Kabinet tidak adil – Ewon

Penampang: Tindakan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyalahkan bekas barisan Kabinet negeri disifatkan sebagai tindakan yang tidak adil.

Bakal Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata demikian selepas tampil mempertahankan bekas rakan seperjuangan ketika pemerintahan kerajaan WARISAN-PH-UPKO.

“Tidak adil untuk beliau menuduh Datuk Christina Liew dan Phoong Jin Zhe dalam usaha mencapai kepentingan Sabah kepada pimpinan Pusat.

“Saya yakin bahawa perbincangan di kalangan pemimpin DAP dan PKR negeri kepada pemimpin Pusat mereka sudah berlaku.

“Mendiang Datuk Stephen Wong, yang merupakan ketua DAP negeri dan Kabinet negeri, sentiasa komited memperjuangkan kepentingan Sabah kepada pemimpin DAP pusat, yang berada di Kabinet persekutuan.

“Saya turut menyaksikan Phoong dan Chan Foong Hin memperjuangkan kepentingan Sabah dengan tegas kepada pimpinan Pusat mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ewon berkata, sebagai Ketua Menteri pada waktu itu, Shafie mempunyai semua platform rasmi untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.

“Beliau duduk di Jawatankuasa Khas Sabah – Sarawak yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau juga duduk di Majlis Menteri Besar / Ketua-ketua Menteri, Majlis Kewangan Negara dan mengiringi Gabenor Negeri pada Majlis Raja-Raja dan beliau juga adalah Ahli Parlimen.

“Itu merupakan jalan rasmi untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah. Sesiapa sahaja boleh mempersoalkan sama ada hak Sabah benar-benar diperjuangkan dalam hal ini.

“Bagi saya, adalah tidak adil untuk menyalahkan anggota Kabinet yang hanya mempunyai platform parti tetapi bukan pada platform rasmi kerajaan.

“WARISAN juga diwakili dalam kerajaan persekutuan, dahulu mereka mempunyai tiga menteri. Secara peribadi, saya tahu mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi Shafie tidak adil kepada Christina, Phoong dan Chan,” katanya.

Semalam, Shafie membuat kenyataan terhadap Pakatan Harapan (PH) Sabah yang mendakwa DAP dan PKR gagal melindungi hak rakyat Sabah ketika mereka berkuasa.

Kenyataan beliau itu ditujukan kepada bekas Ketua PKR Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; pemimpin DAP merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe serta Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|