WARISAN musuh utama BN Sabah

WARISAN musuh utama BN Sabah

Sandakan: Barisan Nasional (BN) perlu memastikan Parti Warisan (WARISAN) tidak bertapak di Sabah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, disebabkan itu kerjasama BN dengan GRS perlu dilaksanakan kerana musuh utama BN di Sabah ialah WARISAN.

“Hakikatnya siapa musuh utama, musuh utama barangkali adalah WARISAN. Ada dua persimpangan, memenangkan semua BN ataupun memastikan setapakpun WARISAN tak boleh bertapak di sini.

“Yang mana lebih utama, saya serahkan kepada kepimpinan negeri dan tentu sekali melihat kepentingan utama siapa musuh. Dalam soal itu di peringkat Pusat kita letakkan kepada Datuk Bung dan juga Datuk Yakub Khan untuk mengemudi,” katanya pada sidang media sempena Program Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 5, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin UMNO dan BN Sabah mampu melakukan misi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga yakin kerusi-kerusi di Zon 5 Sabah mampu dikekalkan sejajar kedudukannya yang sebelum ini menjadi nadi utama BN di Sabah.

Katanya, pihaknya percaya dalam PRU-15 banyak kerusi akan dimenangi BN di Zon 5 yang meliputi Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Libaran dan Batu Sapi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|