Waspada corak serangan Kuching City FC – Kim Swee

Waspada corak serangan Kuching City FC – Kim Swee

Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC diingatkan terus kekal fokus dan tidak mengambil mudah menjelang pertemuan menentang Kuching City FC pada perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti pasti mahu pasukannya bermain dengan corak serangan untuk merapatkan jurang gol sekali gus mematikan hasrat skuad badak untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Kita tahu Kuching City datang ke Stadium Likas untuk bermain dengan corak serangan sekaligus memberi satu tentangan yang cukup sengit dan kita tidak boleh mengambil mudah.

“Persiapan pasukan seperti biasa, kita tahu walaupun mempunyai kelebihan satu gol mendahului Kuching City, namun saya yakin perlawanan malam esok bukan satu perkara mudah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mahu anak-anak buahnya untuk tidak hilang momentum selain perlu kekal fokus khususnya dari segi disiplin semasa perlawanan.

“Disiplin perlu menjadi perkara utama ketika bertahan memandangkan peluang-peluang yang dicipta oleh Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak tempoh hari amat berbahaya dan kita perlu memastikan kita tidak dibolosi, itu yang penting untuk perlawanan malam esok,” katanya.

Mengenai barisan pemain yang diturunkan, Kim Swee berkata, perkara itu masih belum ditentukan.

“Kita mempunyai ramai pemain yang masih lagi mengalami kecederaan yang agak lama terutamanya (Jose) Embalo, Jackson (De Sauza), Khairul Fahmi Che Mat, Gary Steven Robat dan yang terkini Park Tae Su termasuk Dominic Tan.

“Jadi kita mempunyai beberapa pemain yang masih belum ditentukan sama ada boleh diturunkan ataupun tidak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|