PRU15: Beluran perlukan banyak pembangunan infrastruktur

PRU15: Beluran perlukan banyak pembangunan infrastruktur

Beluran: Menaik taraf kemudahan infrastruktur perhubungan merangkumi jalan raya, jalan kampung, jambatan serta jeti akan menjadi aspirasi utama Pakatan Harapan (PH) di daerah ini.

Calon PH Beluran, Felix Joseph Saang berkata, sukar dinafikan, daerah Beluran sememangnya ketinggalan dalam banyak aspek keperluan dan kemudahan.

Katanya, antara yang paling jelas adalah jalan raya yang menghubungkan rumah penduduk dengan jalan utama di kebanyakan tempat di Parlimen ini.

“Rata-rata penduduk di sini memerlukan banyak pembangunan, sama ada kemudahan jalan raya ataupun infrastruktur lain.

“Apa yang pasti, PH Beluran akan berpeluang berkongsi cadangan pelan strategik menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan komuniti bagi kawasan Parlimen Beluran sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Felix berkata, PH juga akan mewujudkan saluran aduan rakyat untuk maklum balas secara sistematik dan teratur berkenaan permasalahan dihadapi.

“Ia amat penting agar kerja penyelenggaraan dapat dilakukan dengan cekap dan pantas bagi mengelakkan pergerakan penduduk di sekitar parlimen ini sering terganggu.

“Begitu juga dengan tindakan membaikpulih papan tanda, nama dan arah jalan-jalan kampung yang sudah terlalu usang.

“Kita akan menaiktaraf jalan untuk kebaikan dan keselamatan warga Beluran serta pengguna jalan,” katanya.

Sehubungan itu, Felix berkata, pihaknya percaya Beluran memerlukan satu Jawatankuasa Besar Peringkat Parlimen bagi mengelolakan Projek Pelan Pembangunan Beluran selama lima tahun membabitkan daerah Sugut, Labuk dan Telupid.

Katanya, ia bagi membincangkan agenda pembangunan terancang berhubung kemudahan infrastruktur yang tenat di Parlimen Beluran demi kesejahteraan dan kemakmuran warga Beluran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|