WARISAN tanding di semua kerusi Parlimen di Sabah, Labuan

WARISAN tanding di semua kerusi Parlimen di Sabah, Labuan

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) berkemungkinan besar akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu di Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya sudah bersedia dan mengenal pasti calon yang bakal bertanding.

Katanya, ia akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum hari penamaan calon.

“Besar kemungkinan kita akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu kerusi di Labuan.

“Kita bertanding di semua kawasan ini untuk ‘reset’ Sabah, cara pentadbiran dan pengurusan di peringkat Sabah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN, di sini, hari ini.

Shafie berkata, sebelum ini, pihaknya pernah menyuarakan untuk bekerjasama dengan parti lain namun mereka tidak mahu berulang kali bercakap mengenai perkara itu.

Sementara itu, Shafie berkata, WARISAN bakal menampilkan beberapa calon muka baharu dan mengekalkan beberapa calon lama.

“Apa yang penting calon yang bertanding boleh menang. Ia tidak semestinya ketua bahagian yang akan bertanding.

“Sekiranya tidak dicalonkan jangan boikot dan kecewa,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, parti WARISAN turut mengenal pasti untuk bertanding di beberapa kawasan di Semenanjung.

Katanya, WARISAN bercadang untuk bertanding beberapa kerusi Parlimen di Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|