Hajiji kagum pencapaian Buatin

Hajiji kagum pencapaian Buatin

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengagumi pencapaian seorang warga emas yang mencipta rekod menawan puncak Gunung Kinabalu pada usia 90 tahun, baru-baru ini.

Beliau turut menganggap warga emas terbabit, Buatin Blandong seperti ayahnya sendiri ketika menerima kunjungannya di pejabat beliau di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji memimpin tangan Buatin ketika menerima kunjungannya di Menara Kinabalu.

Katanya, kedatangan Buatin yang ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali mengingatkannya kepada arwah ayahnya.

“Sejak umur 10 tahun lagi saya sudah kehilangan kasih sayang daripada seorang ayah. Rindu itu sudah pasti.

“Insan yang bertemu dengan saya hari ini, Buatin Blandong, warga emas yang bukan calang-calang orangnya dan sudah saya anggap seperti ayah sendiri.

“Beliau telah cipta rekod tawan puncak Gunung Kinabalu pada usia 90 tahun! Lebih menarik, beliau juga sudah berjaya mendaki Gunung Kinabalu sebanyak lapan kali dan akan mendaki lagi dalam masa terdekat ini untuk kali kesembilan.

“Kemesraan beliau juga telah mengubati sedikit kerinduan saya dan sempat jugalah saya tanya beliau tadi tips untuk kekal stamina,” katanya dalam perkongsian di laman Facebooknya hari ini.

Juil ialah cucu Buatin, manakala Armizan adalah cicitnya. Turut menemani Buatin pada pertemuan itu ialah dua anaknya, Andrew dan Doris.

Sementara itu, menerusi kenyataan medianya berhubung pertemuan itu, Hajiji mengucapkan tahniah atas kejayaan Buatin dan menghadiahkannya ‘sigar’ (tanjak) sebagai tanda penghargaan.

“Walaupun seorang warga emas, Buatin memang hebat. Begitu cekal, kuat, mempunyai stamina tinggi sehingga mampu mendaki Gunung Kinabalu. Ini amat luar biasa dan mengkagumkan,” katanya.

Berkongsi pengalamannya melakukan pendakian, Buatin berkata, tanpa semangat dan jiwa yang kuat serta kental, beliau tidak mungkin mampu melakukannya lebih-lebih lagi terpaksa berdepan hujan lebat, kabus dan cuaca yang amat sejuk.

“Syukur, saya berjaya mengharungi dugaan dan cabaran itu sehingga berjaya sampai ke puncak Gunung Kibabalu. Itu merupakan pendakian saya yang kelapan, kali terakhir saya mendaki sebelum ini ialah pada 2015, sebelum berlaku gempa bumi,” katanya.

Buatin yang berasal dari Papar mendapat perhatian media selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada usia 90 tahun pada 5 September lalu.

Beliau adalah warga emas tertua dalam sejarah pendakian Gunung Kinabalu yang direkodkan berjaya sampai ke puncak setinggi 4,095 meter itu.

Sehingga kini pesara kerajaan negeri itu sudah lapan kali menawan puncak tertinggi Asia Tenggara itu termasuk dua kali memecah rekod pendaki tertua iaitu pada 2015 ketika berusia 83 tahun dan yang terbaharu pada 5 September lalu ketika berusia 90 tahun.

Malah, beliau juga berhasrat untuk melakukan pendakian yang kesembilan selepas ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|