Kasim teruskan agenda kecemerlangan UMS, tumpu penyelidikan berimpak tinggi

Kasim teruskan agenda kecemerlangan UMS, tumpu penyelidikan berimpak tinggi

Kota Kinabalu: Naib Canselor baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Kasim Mansor akan meneruskan agenda kecemerlangan UMS yang digariskan bermula daripada Naib Canselor pertama hingga keenam.

Katanya, beliau telah bersama-sama dengan semua Naib Canselor sebelum ini dan melalui pelbagai pencapaian yang dikecapi UMS sejak penubuhannya pada 1994.

Kasim (kiri) menerima nota serah tugas daripada Taufiq (dua kanan) sambil disaksikan Nurlaila (dua kiri) dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar (tepi kanan).

“Pengalaman ini akan saya terapkan ke dalam kepimpinan selaku Naib Canselor yang ketujuh untuk meningkatkan lagi kecemerlangan UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Keutamaan akan diberikan kepada hal-hal yang berkaitan dengan tugas-tugas utama sebagai ahli akademik iaitu meningkatkan penyelidikan yang berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS di Dewan Bankuasi UMS, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Naib Canselor UMS yang keenam, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Kasim.

Majlis itu disaksikan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menurut Kasim, antara perancangan yang akan datang termasuklah meningkatkan geran penyelidikan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak industri dari dalam dan luar negara.

“Sebagai universiti komprehensif, penyelidikan UMS akan merangkumi pelbagai aspek termasuk isu-isu kemiskinan, kebudayaan, sains marin, perhutanan, pertanian, bioteknologi, minyak dan gas serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

“Kita mempunyai lebih 1,000 kakitangan akademik yang mahir dalam pelbagai bidang, justeru kita ingin memaksimumkan sumber yang kita ada.

“UMS juga sentiasa bersedia untuk menyumbang dari segi kepakaran, penyelidikan dan buah fikiran kepada negara khususnya kepada negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|