Sabah peneraju global pengeluaran minyak sawit mampan

Sabah peneraju global pengeluaran minyak sawit mampan

Kota Kinabalu: Satu inisiatif dasar akan diwujudkan bagi melindungi ketahanan sektor minyak sawit dan menjadikan Sabah sebagai pemimpin global dalam pengeluaran minyak sawit mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia akan dilakukan melalui pelaksanaan serentak Inisiatif Bidang Kuasa Pensijilan Kelapa Sawit Lestari (JCSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang bertujuan untuk mencapai tahap Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

“Secara konsisten dan selama ini, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan sektor minyak sawit tetap menjadi pemacu ekonomi utama di Sabah.

“Kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk meningkatkan hasil minyak sawit mentah (CPO) per hektar melalui pertanian, mekanisasi ladang, kawalan perosak dan penyakit serta banyak lagi.

“Pada masa yang sama, kita akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor hiliran kelapa sawit,” katanya dalam ucapan sempena Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik Malaysia Timur (emPOC2022) di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sementara itu, Hajiji berkata harga CPO di negeri ini meningkat sebanyak 26.8 peratus mencapai RM5,372.50 setiap tan untuk tempoh Januari-Ogos 2022, berbanding RM4,505.50 setiap tan pada 2021.

Menurut beliau, peningkatan itu disebabkan kenaikan harga minyak kacang soya dunia, gangguan bekalan minyak sawit akibat kekurangan buruh dalam sektor perladangan dan kesan kenaikan harga minyak mentah Brent di pasaran dunia.

“Dari segi pengeluaran CPO Sabah pada tahun 2021 dicatatkan sebanyak 4.36 juta tan dengan 4.02 juta tan dieksport ke negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan.

“Bagi tempoh Januari-Ogos lalu, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang lain berjumlah 3.04 juta tan meningkat sebanyak 58,343 tan berbanding 2.98 juta tan dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, bagi nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain yang dihasilkan negeri pada tahun lalu berjumlah RM19.9 bilion, kenaikan 32.7 peratus berbanding kira-kira RM15 bilion pada 2020.

“Disokong kenaikan harga pasaran global, nilai eksport bagi tempoh Januari-Ogos 2022 telah meningkat sebanyak RM5.87 bilion atau 53 peratus kepada RM16.94 bilion berbanding RM11.08 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Dengan sumbangan eksport berjumlah berbilion ringgit, tidak ragu-ragu lagi bahawa industri minyak sawit memainkan peranan utama dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan menuai faedah sosioekonomi bagi rakyat,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini, terdapat sembilan penapis minyak sawit beroperasi di Sabah dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 7.48 juta tan setahun, dengan dua kilang biodiesel beroperasi untuk menghasilkan 300,000 tan biofuel berasaskan sawit setiap tahun.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah membangunkan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) – Lahad Datu dan POIC Sandakan sebagai hab pembangunan untuk industri minyak sawit bagi menerajui pembangunan aktiviti hiliran berasaskan minyak sawit.

Jelasnya, kedua-dua POIC itu dibangunkan dengan kemudahan dan peralatan yang disepadukan dengan kemudahan pelabuhan untuk membantu aktiviti import dan eksport produk sawit yang akan digunakan oleh industri dan pelabur.

Menurut beliau, berdasarkan kemajuan dalam sektor minyak sawit dan peningkatan infrastruktur, serta ketersediaan insentif kerajaan yang menarik, ia akan memberikan peluang perniagaan yang sangat baik untuk pemain industri menceburi sektor hiliran.

“Kerajaan Negeri menggalakkan pemain industri kelapa sawit di Malaysia untuk melabur dalam industri minyak sawit hiliran dengan membangunkan kilang-kilang oleokimia di Sabah.

“Pembangunan kilang oleokimia berpotensi besar memandangkan ia belum ada di Malaysia Timur, khususnya di Sabah pada ketika ini,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri, menerusi Kementerian Pembangunan Peridustrian komited dalam menyelaras dan membantu pelaburan serta pembangunan kilang oleokimia.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penganjuran dua hari emPOC2022 yang merupakan anjuran Bursa Malaysia buat julung kali di Malaysia Timur.

Katanya, sudah tiba masanya untuk Sabah memberikan fokus kepada industri minyak sawit, sebagai salah satu pemacu ekonomi tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|