WARISAN desak mesyuarat khas RUU Anti Lompat di DUN Sabah

WARISAN desak mesyuarat khas RUU Anti Lompat di DUN Sabah

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) sekali lagi mendesak supaya mesyuarat khas bagi membawa Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Usaha itu ditegaskan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini sudah menyuarakan perkara itu di Parlimen selepas RUU itu diluluskan.

“Saya cadangkan supaya dilakukan mesyuarat khas di DUN untuk membawa RUU Anti Lompat Parti dan diselaraskan sebaik mungkin kerana saya yakin bulan September Yang di-Pertuan Agong akan tandatangan kerana Dewan Negara sudah luluskan baru-baru ini.

“Jadi ia akan digazetkan dan efektif serta merta. Saya berharap, selaku Ketua Pembangkang di peringkat Sabah kita bekerjasama sebaik mungkin untuk memberi sokongan kepada pindaan undang-undang yang ada,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN, di Kolombong, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian berikutan mesyuarat berkenaan turut membincangkan pindaan perlembagaan parti berkaitan RUU berkenaan.

Katanya lagi, RUU itu perlu diluluskan tanpa mengira ideologi politik dan sama ada membabitkan blok pembangkang ataupun kerajaan.

“RUU ini juga perlu diadakan terlebih dahulu namun mungkin perlu adanya penambahbaikan pada masa akan datang.

“Mungkin satu penggal mereka tidak boleh bertanding untuk dijadikan sebagai satu pengajaran,” katanya.

Beliau turut berkata, pindaan perlembagaan yang akan dilakukan itu selaras dengan Akta Anti Lompat yang diluluskan di Parlimen.

“WARISAN merupakan parti yang pertama yang akan menggubal sedikit sebanyak RUU dalam parti itu memasukkan kandungan apa yang ada dalam Akta Anti Lompat yang telahpun diluluskan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|