KRT Rancha-Rancha semarakkan Bulan Kemerdekaan 2022

KRT Rancha-Rancha semarakkan Bulan Kemerdekaan 2022

Labuan: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut, di sini mengedarkan kira-kira 300 bendera Jalur Gemilang kepada penduduk kampung bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Pengerusi KRT Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut, Alias Asri berkata Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT memasang 100 Jalur Gemilang di laluan utama dan lokasi tumpuan orang ramai di kampung berkenaan.

Yatie (kiri) mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk Kampung Rancha-Rancha.

Katanya, KRT turut menyerahkan 100 Jalur Gemilang ke rumah-rumah penduduk kampung dan AJK KRT sendiri.

“KRT turut mengedarkan 100 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR).

Alias (kanan) mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut.

“Saya berharap penduduk kampung tidak ketinggalan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang di premis dan kenderaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai 15 AJK KRT mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung pada Program Kibar Bendera Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan 2022 Sabtu lalu.

Sementara itu, seorang AJK KRT, Yatie Othman berkata beliau bangga dapat membantu mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung dan orang ramai yang melalui Jalan Rancha-Rancha.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya menunjukkan kesetiaan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing,” katanya.

Yatie berkata, semangat merdeka sewajarnya disemarakkan kepada semua penduduk kampung khususnya generasi muda dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Alias Asri tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen AJK KRT yang bukan sahaja membantu melaksanakan program itu malah menyemarakkan Bulan Kemerdekaan 2022.

Beliau berharap Kampung Rancha-Rancha dihiasi bendera Jalur Gemilang sekali gus memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.

“Kita bukan sahaja seronok mengibarkan Jalur Gemilang tetapi mahu generasi muda menghayati pengorbanan pejuang tanah air,” katanya.

Alias turut mengucapkan terima kasih kepada individu yang menyumbangkan Jalur Gemilang yang diedarkan dari jam 2 hingga 5 petang itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|