WARISAN belum putuskan tanding PRN Johor

WARISAN belum putuskan tanding PRN Johor

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) belum memutuskan lagi sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu akan diteliti dan beliau sudahpun memaklumkannya kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Kita akan lihat dulu kerana kita baru terima maklumat hari ini (Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan) dan kita akan teliti secara mendalam.

“Saya telah berhubung dengan Saddiq (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan maklumkan perlu ada persediaan kalau sekiranya kita nak putuskan untuk bertanding,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam WARISAN di Dewan Hakka, Likas, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa WARISAN mempunyai penyokongnya tersendiri terutama di beberapa kawasan di Johor.

“Walaupun kita mempunyai beberapa kawasan yang mempunyai penyokong di situ, pengalaman saya di Johor ini banyak juga berkempen.

“Di Pasir gudang contohnya banyak orang Sabah dan Sarawak, (begitu juga) di Johor Bahru. Tetapi kita tidak hanya bergantung dengan rakyat dari Sabah dan Sarawak.

“Kita akan lihat bagaimana keadaan di situ. Kita belum putuskan sebab kita baru dengar pembubaran dewan di Johor dan itu pun kita tak tahu bila pilihan raya diputuskan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin akan menentukan bila agaknya pilihan raya dan saya akan bincang dengan kawan saya Saddiq dulu,” katanya.

DUN Johor secara rasminya dibubarkan pada Sabtu selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|