Teknologi digital bawa cabaran baharu usaha tangani pemburuan haram di Sabah

Teknologi digital bawa cabaran baharu usaha tangani pemburuan haram di Sabah

Kota Kinabalu: Sabah berdepan cabaran baharu menangani kegiatan pemburuan dan pembunuhan haram serta perdagangan hidupan liar dilindungi berikutan penggunaan teknologi digital dalam kalangan pelaku atau dalang kegiatan berkenaan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga, berkata aplikasi digital atau secara maya menggunakan Facebook, WhatsApp dan Telegram menyukarkan jabatan itu mengumpul bukti untuk mendakwa pelaku.

Augustine (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Pengarah SKMM Sabah, Izani Othman sambil disaksikan Dr Milena.

“Kebelakangan ini, perdagangan haram spesies hidupan liar seringkali dilakukan secara maya atau melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan lain-lain lagi.

“Ini menimbulkan cabaran besar kepada anggota penguatkuasa, khususnya dalam mengumpul bukti digital dan sebab itu kes tangkapan membabitkan jualan secara dalam talian masih sedikit.

Peserta kursus menangani media sosial dan merampas peralatan digital serta bukti berkaitan perdagangan dan penyeludupan hidupan liar.

“Seringkali juga tangkapan hanya dapat dibuat apabila benar-benar dapat dipastikan hidupan liar dilindungi berada dalam milikan suspek,” katanya dalam kenyataan bersama JHLS dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) mengenai isu perdagangan hidupan liar Sabah, di sini.

Katanya, undang-undang sedia ada yang tidak meletakkan perbuatan mempamer hidupan liar dilindungi atau yang dilindungi sepenuhnya dalam media sosial sebagai satu kesalahan turut menambahkan lagi kesukaran kepada penguatkuasa untuk mengambil tindakan.

Peserta kursus belajar mengenali peralatan forensik digital.

Kegiatan pemburuan, pembunuhan dan perdagangan haram hidupan liar adalah ancaman yang nyata dihadapi kebanyakan spesies terancam di Sabah dan menjadi agenda penguatkuasa barisan hadapan hidupan liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, DGFC sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam aktiviti pemeliharaan hidupan liar di Sabah tampil membantu JHLS dalam memerangi jenayah hidupan liar melalui beberapa program latihan selain pembentukan Unit Risikan dan Unit Forensik Hidupan Liar di JHLS.

Melalui kerjasama itu, JHLS dan DGFC serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini menganjurkan kursus bagaimana untuk menangani media sosial dan merampas peralatan digital serta bukti berkaitan perdagangan dan penyeludupan hidupan liar.

Kursus dua hari itu disertai Kumpulan Kerja Jenayah Hidupan Liar Antara Agensi yang merangkumi wakil daripada pelbagai jabatan negeri, agensi penguatkuasa dan NGO.

Ia adalah kursus ke-14 dibiayai Biro Hal Ehwal Penguatkuasaan Undang-Undang dan Narkotik Antarabangsa, Jabatan Negara Amerika Syarikat (INL) melalui projek ‘Meningkatkan Penguatkuasaan dan Keupayaan Forensik bagi Menghalang Penyeludupan Hidupan Liar di Sabah yang diselaraskan JHLS dan DGFC.

Penyelaras DGFC bagi Projek INL, Dr Milena Salgado Lynn, berkata pihaknya berterima kasih kepada SKMM kerana bersetuju membentuk kerjasama rapat dengan JHLS dalam menyediakan latihan untuk Kumpulan Kerja Antara Agensi yang juga diwujudkan pada program berkenaan.

Katanya, hampir RM8 juta disalurkan INL untuk program penguatkuasaan dan forensik hidupan liar yang dilaksanakan sejak Oktober 2019.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|