Wanita rentung, rumah terbakar

Wanita rentung, rumah terbakar

Tambunan: Seorang wanita dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri sebelum mayatnya ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Tikolod, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa Norhabibah Awang, 30, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumahnya manakala sembilan lagi ahli keluarganya sempat keluar dari rumah berkenaan.

Keadaan rumah yang musnah akibat kebakaran di Kampung Tikolod, Tambunan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.25 tengah malam.

Katanya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 20 kilometer dari BBP Tambunan.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal dan terbakar 90 peratus. Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat.

“Terdapat 10 penghuni di dalam rumah berkenaan bagaimanapun seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Desmond turut dimaklumkan bahawa tiada liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian menyebabkan pihaknya sukar untuk melaporkan situasi semasa.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.45 pagi selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|