Kembalikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak – STAR

Kembalikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak – STAR

Kota Kinabalu: Sabah dan Sarawak perlu diberikan 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen di seluruh negara bagi mengembalikan kedudukan asal peratusan kerusi ketika awal pembentukan Malaysia bersama Singapura pada 1963.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pengembalian peratusan berkenaan berbanding hanya 25 peratus ketika ini bagi melindungi hak dan keistimewaan kedua-dua negeri berkenaan.

Katanya, kedua-dua negeri Borneo itu seharusnya diberikan lebih banyak kerusi berbanding hanya 56 kerusi Parlimen ketika ini iaitu masing-masing 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen seluruh negara.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1964, Sabah, Sarawak dan Singapura mempunyai 55 kerusi atau 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan mengenai agihan kerusi Parlimen.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, memburukkan lagi keadaan apabila majoriti kerusi Parlimen di Sabah dipegang parti nasional yang mana wakil rakyatnya terpaksa akur dengan pendirian parti dalam sebarang isu termasuk berkaitan Sabah dan Sarawak.

“Bolehkah kita menjamin hak perlembagaan kita dilindungi sedangkan kita tahu Ahli Parlimen wajib mengundi berdasarkan pendirian parti dalam sebarang isu yang dibawa ke Parlimen termasuk berkaitan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau menyokong pendirian diambil kerajaan Sarawak yang sebelum ini menjelaskan akan meneruskan tuntutan terhadap satu pertiga kerusi Parlimen seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ini.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, STAR sememangnya sentiasa menuntut perkara itu sejak sebelum menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang dan akan terus menuntut sehingga tuntutan itu dipenuhi.

Katanya, sebagai ahli Jawatankuasa Kerja MA63, beliau akan memastikan tuntutan itu diberikan keutamaan sebagai satu daripada hak kritikal yang perlu dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|