UPKO tidak bercadang tanding kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU depan

UPKO tidak bercadang tanding kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU depan

Kota Belud: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud hari ini menyatakan pendiriannya tidak akan meletakkan calon di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Datuk Ewon Benedick, berkata beliau sebaliknya mahu menumpukan kepada usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, soal calon bagi kerusi Parlimen Kota Belud diserahkan kepada kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) memandangkan UPKO kini berada dalam gabungan berkenaan.

“UPKO kini berada dalam gabungan nasional PH dan saya fikir kita perlu menyokong calon yang akan diletakkan oleh pucuk pimpinan sama ada daripada gabungan PH atau rakan PH.

“Tetapi jika saya masih Ketua Bahagian UPKO Kota Belud selepas mesyuarat agung bahagian tahun ini, saya akan memaklumkan pucuk pimpinan parti yang kita tidak akan meletakkan calon di Parlimen Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran serentak mesyuarat agung tritahunan cawangan-cawangan UPKO Bahagian Kota Belud, hari ini.

Naib Presiden UPKO itu menjelaskan tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

Katanya, UPKO harus mempertahankan kemenangannya di Kadamaian dengan memperlihatkan prinsip dan pendekatan kepemimpinan disenangi rakyat.

Beliau berkata, parti itu juga perlu memperkemaskan jentera di peringkat akar umbi selain memperkasa kerjasama dengan semua pihak dan segmen masyarakat yang menjadi tanggungjawabnya bersama semua ahli UPKO.

“DUN Kadamaian adalah satu-satunya kerusi yang dimenangi UPKO pada PRN lalu. Selain jentera UPKO, kemenangan ini juga dibantu jentera WARISAN dan PKR serta mereka yang menyokong kepimpinan kita walaupun bukan ahli parti.

“Di Kadamaian, banyak yang menyatakan mereka tidak menyokong parti tetapi kepada personaliti. Justeru UPKO perlu melahirkan personaliti yang boleh diterima rakyat Kadamaian melalui perkhidmatan, pelayanan dan perjuangan rakyat yang dilaksanakan.

“Saya adalah antara yang percaya bahawa seseorang pemimpin itu tidak perlu terlalu lama menjadi wakil rakyat. Cukuplah sehingga tiga penggal. Sebaik-baik pemimpin itu, tunjukkanlah sumbangan kepemimpinan seawal yang boleh ketika penggal awal bukannya di penghujung penggal,” katanya.

Ewon yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, selama dua tahun pertama sebagai ADUN Kadamaian, beliau sudah melaksanakan yang terbaik mampu dilakukannya untuk rakyat kawasan berkenaan.

“Selaku wakil rakyat di pihak pembangkang pula, kini saya perlu tunjukkan kecekalan kepemimpinan dan pendekatan berprinsip.

“Saya mungkin tidak lagi boleh mengagih peruntukan seperti sebelum ini tetapi saya tetap boleh berkhidmat dan menyantuni rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|