Empat lagi Pusat Produk IKS akan dibuka bantu jayakan Kempen Beli Barangan Buatan Sabah

Empat lagi Pusat Produk IKS akan dibuka bantu jayakan Kempen Beli Barangan Buatan Sabah

Ranau: Empat lagi Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau Pusat Produk IKS akan dibuka tahun ini bagi membantu mempromosi dan menjual produk keluaran tempatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, empat pusat berkenaan akan dibuka di Tawau, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran.

Hajiji diiringi Dr Joachim (kiri) menyerahkan geran BAIKS kepada wakil usahawan IKS Ranau sempena Majlis Perasmian Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah di Plaza Kiaburi, Ranau.

Katanya, sebuah lagi pusat yang sedang dibangunkan di daerah Papar, dijangka akan beroperasi dalam masa terdekat ini.

“Pembukaan empat Pusat Produk IKS ini adalah antara dua inisiatif yang diambil kerajaan bagi membantu usahawan IKS mempromosi dan menjual barangan keluaran mereka.

“Dalam Belanjawan 2022, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan bagi menubuhkan empat lagi Pusat Produk IKS pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah di Kiaburi Plaza, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, beliau berharap pembukaan lebih banyak Pusat Produk IKS akan membantu menjayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah sekali gus memberi impak yang besar kepada sektor peruncitan tempatan.

Katanya, buat masa ini, tiga Pusat Produk IKS sudah beroperasi iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, Beaufort dan terbaharu di daerah ini.

Sementara itu, Hajiji berkata, satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pemasaran Produk IKS Sabah di pasar raya tempatan di negeri ini.

Katanya, kerajaan melalui DIDR bekerjasama dengan Pasaraya Bataras bagi memasarkan produk keluaran Sabah ke seluruh cawangan pasar raya berkenaan.

“Selain di Bataras, produk IKS juga dipasarkan di seluruh Kedai Mesra di Sabah dan Labuan dengan kolaborasi bersama PETRONAS Dagangan Bhd, khususnya produk makanan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu usahawan IKS yang terjejas akibat pandemik Covid- 19,” katanya.

Hajiji berkata, Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah adalah salah satu inisiatif yang disenaraikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya pada 2021.

“Syabas saya ucapkan kepada MID dan agensi di bawahnya kerana berjaya melaksanakan satu lagi inisiatif Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya pada tahun 2021 dengan jayanya.

“Penganjuran Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini tepat pada masanya bagi membantu merancakkan semula ekonomi domestik dan membantu usahawan IKS mempromosikan barangan buatan tempatan Sabah.

“Saya berharap kempen ini menjadi satu titik permulaan kepada usaha bersama di antara kerajaan, industri dan juga rakyat dalam memastikan kejayaan kita memulihkan ekonomi dapat diteruskan dengan kejayaan merancakkan semula ekonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau berharap usahawan dan peniaga di Sabah tidak hanya memfokuskan perniagaan mereka dalam pasaran tempatan sahaja, sebaliknya menggunakan sepenuhnya platform e-dagang yang kini menjadi pilihan ramai.

Katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital secara meluas.

“Saya yakin barangan buatan Sabah mempunyai potensi dan kualiti untuk bersaing dengan produk dari luar negara

“Kita berharap 12 syarikat dari Sabah yang menyertai World Dubai Expo 2020 pada Disember lalu, dapat menyebarluaskan lagi perniagaan mereka di peringkat antarabangsa,”’katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|