Sabah contoh terbaik konsep Keluarga Malaysia – Yakub Khan

Sabah contoh terbaik konsep Keluarga Malaysia – Yakub Khan

Kota Kinabalu: Sabah menjadi contoh terbaik konsep Keluarga Malaysia yang diperlihatkan menerusi sambutan perayaan yang diraikan bersama semua kaum di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, berkata sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut masyarakat Tionghua minggu depan adalah contoh terdekat untuk melihat konsep berkenaan.

Yakub bertemu peniaga di pekan Manggatal.

Katanya, rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik sama-sama memeriahkan sambutan meskipun dalam suasana terhad akibat pandemik Covid-19 yang masih merisaukan.

“Hari ini saya mengadakan program untuk bertemu pengundi Tionghua dan bertanya khabar menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang tidak lama lagi.

“Pendekatan ini adalah antara cara kita untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara pemimpin dan rakyat selain mengeratkan semua kaum merentasi fahaman politik.

“Ini juga menjadi satu bukti bahawa Sabah adalah contoh terbaik konsep Keluarga Malaysia. Setiap perayaan yang kunjung tiba pasti disambut oleh pelbagai kaum di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata demikian mengulas program bertemu rakyat sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar kawasannya, hari ini.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah pekan Telipok, pekan Manggatal, Universiti Plaza, Taman Kingfisher, Sulaman Central, Indah Permai dan Salut Plaza.

Masyarakat Cina akan menyambut kedatangan Tahun Harimau sempena Tahun Baharu Cina pada Selasa depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|