Upah RM150 hingga RM200 seludup barang subsidi ke Filipina

Upah RM150 hingga RM200 seludup barang subsidi ke Filipina

Semporna: Ambil upah RM150 hingga RM200 untuk seludup barang subsidi. Itu pengakuan seorang lelaki warga asing yang ditahan di perairan utara Pulau Mataking, di sini, kelmarin.

Dalam operasi Op Taring yang dijalankan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit yang menaiki sebuah bot dikesan bergerak menuju keluar dari perairan Semporna ke perairan Filipina.

Barangan bersubsidi yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

Sebaik ditahan, lelaki terbabit didapati membawa minyak petrol bersubsidi bersama minyak masak yang dianggarkan bernilai RM16,906 termasuk bot serta enjin yang digunakan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, siasatan mendapati suspek aktif terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak dari Semporna ke Pulau Sitangkai, Filipina.

Bot yang digunakan suspek berusia 30 tahun untuk membawa keluar minyak petrol dan minyak masak. Pix Ihsan PGA Sabah

Katanya, upah yang diterima untuk kegiatan penghantaran sehala adalah sebanyak RM150 hingga RM200.

“Antara yang berjaya dirampas adalah 275 liter minyak petrol bersubsidi dan 137 bungkusan minyak masak yang dipercayai cuba diseludup keluar.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku pernah ditangkap atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan pernah di penjara Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|