UNICEF, MPMS jalin kerjasama jayakan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Sabah

UNICEF, MPMS jalin kerjasama jayakan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Sabah

Kota Kinabalu: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bersama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) menjalin kerjasama bagi meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena Bulan Kebajikan di Sabah.

Bertemakan ‘Kesihatan dan kesejahteraan untuk setiap kanak-kanak’, ia memberi penekanan terhadap kepentingan pemakanan yang baik untuk pembangunan pertumbuhan kanak-kanak melalui beberapa cara.

Sekitar sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena Bulan Kebajikan di Sabah, yang diadakan di Nabawan.

UNICEF dalam satu kenyataan, berkata ia termasuk dengan meningkatkan pengetahuan nilai pemakanan pada makanan tempatan (resipi dan aktiviti penanaman yang disusun berdasarkan apa yang tersedia secara tempatan).

“Selain itu, ia juga menekankan aspek memupuk minat kanak-kanak untuk menanam dan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan,” kata kenyataan itu.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019), malnutrisi berleluasa di negeri ini, seperti di seluruh Malaysia di mana 21.8 peratus kanak-kanak di seluruh negara terbantut.

Sementara itu, acara pertama telah diadakan di Pentas Terbuka, Nabawan & Kompleks Sukan Nabawan pada November 23 lalu.

Selaku tetamu kehormat, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya turut menzahirkan penghargaan kepada UNICEF Malaysia atas penganjuran program seumpama ini.

“Kanak-kanak merupakan aset negara yang bukan hanya perlu dilindungi daripada ancaman luar, tetapi juga dari segi hak dan peluang.

“Saya berharap agar kerjasama ini akan berterusan agar lebih banyak progam sedemikian rupa dapat dijalankan untuk kebaikan kanak-kanak dan komuniti di negeri ini,” kata Shahelmey.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Myrna Jimenez.

Lebih 300 kanak-kanak daripada Nabawan, Sook, Pensiangan dan Keningau telah menyertai dalam Hari Kanak-Kanak Sedunia di Nabawan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah kelas memasak, menanam, kitar semula, kesihatan dan kebersihan, klinik bola sepak tang bertujuan untuk menggalakkan pemakanan sihat, kesejahteraan, pendidikan, tidak diskriminasi dan hak kanak-kanak secara umum.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|