Tawau: Seramai tujuh lelaki termasuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika leka menyabung ayam di kawasan Kampung Iban Merotai Besar, di sini, semalam.
Serbuan dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dibantu anggota Balai Polis Bombalai turut merampas empat ekor ayam sabung dan wang tunai.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika serbuan, semua suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.
Bagaimanapun katanya, tindakan pantas pegawai dan anggota operasi berjaya menahan semua tujuh suspek terbabit.
“Anggota operas turut merampas empat ekor ayam sabung dan juga sejumlah wang tunai.
“Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut polis mendapati empat daripada tujuh suspek adalah warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut memusnahkan tempat yang dijadikan perjudian berkenaan supaya tidak ada lagi aktiviti seperti itu dijalankan.
“Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-Deasoka