Bot karam, tiga lelaki selamat

Bot karam, tiga lelaki selamat

Kinabatangan: Tiga lelaki yang bot mereka dilaporkan karam ketika menjalankan aktiviti memukat di sungai Kampung Terusan, di sini ditemui selamat petang tadi.

Ketiga-tiga mangsa berusia 25, 31 dan 55 berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung kira-kira jam 6 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung sebuah bot karam di sungai berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

“PGO Sabah menerima laporan sebuah bot karam di sungai berkenaan dan terdapat tiga mangsa terbabit sedang menjalankan aktiviti memukat.

“Menurut pemanggil iaitu anak kepada salah seorang mangsa dikatakan sempat menerima pesanan suara memaklumkan bahawa bot yang dinaiki bapanya telah karam seterusnya membuat laporan kepada bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada 6 petang, bilik kawalan menerima laporan dari ipar salah seorang mangsa memberitahu semua mangsa bot karam berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

“Semua mangsa diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) seterusnya dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan di Jalan Sim-Sim.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat. Operasi kemudian ditamatkan pada 6.10 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|