Tubuhkan RCI siasat punca kemiskinan tinggi di Sabah – Madius

Tubuhkan RCI siasat punca kemiskinan tinggi di Sabah – Madius

Kota Kinabalu: Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kadar kemiskinan tinggi di Sabah dicadang supaya ditubuhkan bagi mencari penyelesaian terhadap isu kemiskinan di negeri ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang mengutarakan cadangan itu pada sesi perbahasan di Parlimen semalam, berkata penyelesaian secara menyeluruh perlu diambil terhadap isu kemiskinan yang sangat tinggi.

Katanya, RCI itu juga perlu melihat kadar pertumbuhan luar biasa penduduk Sabah disebabkan penyenaraian penduduk memiliki dokumen meragukan dalam statistik penduduk Sabah.

“Kadar kemiskinan di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia. Pada tahun 2021, kadarnya ialah 25 peratus.

“Selain daripada kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kadar ini juga bertambah buruk kerana tindakan kerajaan memasukkan penduduk yang memiliki dokumen kewarganegaraan meragukan ke dalam senarai penduduk Sabah yang mana penduduk ini rata-ratanya berpendapatan di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya penubuhan RCI adalah satu pendekatan yang terbaik untuk menyiasat punca sebenar kemiskinan di negeri ini.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersama Unit Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri untuk menyiasat penduduk Sabah dengan dokumen Kad Pengenalan meragukan yang dimasukkan ke dalam senarai rakyat termiskin di Sabah.

“Saya mohon agar perkara ini disiasat sama ada ia benar-benar berlaku.

“Kerajaan seharusnya mempelajari bagaimana negara China mengenal pasti senarai dan seterusnya memperkenalkan program pembasmian penduduk miskin di suatu penempatan.

“Mereka bukan saja melibatkan kakitangan kerajaan seperti ‘Focus Group’ tetapi juga melibatkan setiap ketua keluarga dalam penempatan tersebut.

“Kakitangan kerajaan (di China) hanya terlibat dalam membuat kajian pendapatan isi rumah sebenar dan mereka yang disenaraikan sebagai rakyat termiskin diputuskan oleh ketua-ketua isi rumah melalui satu proses pemilihan insitusi,” katanya.

Jelasnya, di China, kerajaan negara itu juga mencadangkan program untuk mengatasi masalah kemiskinan bersasar mengikut kedudukan sosio-ekonomi keluarga yang terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|