Tindakan komprehensif tangani isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu

Tindakan komprehensif tangani isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang giat melaksanakan tindakan yang komprehensif dalam menghadapi semua tindakan perundangan di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan terbaharu di Belanda kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, sehingga kini, pihak penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu diwakili sekumpulan peguam diketuai oleh Paul Cohen membawa proses arbitrasi ke beberapa negara iaitu bermula di Sepanyol yang mana pada 29 Jun 2021, Mahkamah Madrid memutuskan bahawa pelantikan Penimbang Tara, Dr Gonzalo Stampa telahpun terbatal dan tidak sah.

“Namun, beliau bersama pihak penuntut bertindak tanpa mempedulikan keputusan pembatalan tersebut dan sebagainya telah memindahkan proses timbang tara dari Sepanyol ke Perancis.

“Rentetan itu, kes timbang tara seterusnya dibawa ke Perancis di mana Dr Gonzalo Stampa telah mengeluarkan ‘final award’ pada 28 Februari 2022 yang memutuskan supaya Kerajaan Malaysia membayar kepada penuntut sejumlah USD$14.92 bilion.

“Kerajaan telah mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan pada 12 Julai 2022 bagi mencabarkan final award tersebut.

“Walau bagaimanapun, sekali lagi, pasukan peguam penuntut terlebih dahulu memintas keputusan tersebut dan pada 11 Julai 2022 dengan notis sitaan bagi dua aset Petronas di Luxembourg telah dikemukakan melalui bailif di Luxembourg.

“Terkini, pasukan peguam penuntut dalam proses untuk menguatkuasakan final award oleh Dr Gonzalo Stampa di Belanda bagi menuntut melalui proses sitaan aset syarikat-syarikat Malaysia di sana,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang bertanya mengenai status semasa tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu melalui proses arbitrasi di Sepanyol, Perancis dan Luxembourg.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menegaskan bahawa kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi.

“Percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Kerajaan Malaysia di Belanda boleh dikatakan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

“Kerajaan melalui Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) Terhadap Kerajaan Malaysia telah membincangkan perkara ini dan mempunyai langkah-langkah strategik yang akan dilaksanakan. Namun, perkara tersebut tidak dapat saya dedahkan di sini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|