PRU-15: WARISAN hanya bekerjasama dengan rakyat

PRU-15: WARISAN hanya bekerjasama dengan rakyat

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) kekal dengan pendirian untuk hanya bekerjasama dengan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRN-15).

Ia bermakna parti itu masih tidak mahu menjalin kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan politik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, berkata pendirian parti itu sudah dijelaskan berulang kali oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Pendirian WARISAN cukup jelas sepertimana yang sudah berulang kali disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam siri jelajah beliau bahawa WARISAN hanya akan bekerjasama dengan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awang Ahmad Sah berkata, WARISAN juga sudah bersedia menghadapi PRU-15 termasuk jika pembubaran Parlimen dilakukan sekarang.

Katanya, WARISAN juga berpendapat kemelut politik tanah air yang tidak berkesudahan ketika ini perlu ditamatkan dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Jelasnya, Langkah Sheraton yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO pada awal 2020 menyebabkan politik dan ekonomi negara menjadi huru-hara dan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berulang kali mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen dan terkini, selepas berjumpa dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO beliau membayangkan perjumpaan itu adalah yang terakhir dengan pemimpin UMNO sebelum Parlimen dibubarkan.

“Melalui berita dan sumber-sumber UMNO yang dapat kita lihat tersebar dan tular di media sosial, dijangkakan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan agar Parlimen dibubarkan.

“Sekiranya diperkenankan, negara akan berdepan dengan PRU-15 dan dijangka akan mengundi pada November 2022,” katanya.

Katanya, WARISAN sentiasa bersiap sedia jika PRU-15 diadakan pada bila-bila masa.

Tambahnya, jentera parti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap Parlimen sudah dibentuk bagi menggerakkan operasi jentera memenangi sebanyak mungkin kerusi pada PRU-15.

“Pelancaran Jentera Pilihan Raya WARISAN akan dibuat di Tenom Yun Lee Food Court pada 22 Oktober 2022 jam 10.00 pagi. Orang ramai dijemput hadir,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah dahagakan pembangunan dan tidak patut diheret dalam kancah ketidakstabilan politik di Semenanjung akibat kerakusan merebut kuasa di antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“WARISAN yang sebelum ini memerintah kerajaan negeri selama 26 bulan terbukti berjaya membawa perubahan besar dalam menuntut hak-hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Malangnya, tempoh pemerintahan Kerajaan WARISAN tidak dapat bertahan lama akibat lompatan katak-katak politik yang akhirnya mengakibatkan Kerajaan WARISAN tumbang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|