Tidak wajar MCA gesa Zahid berundur

Tidak wajar MCA gesa Zahid berundur

Kota Kinabalu: MCA tidak patut membuat kenyataan secara terbuka menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur.

Bendahari Pemuda BN Sabah, Sani Miasin berkata, tindakan pemimpin MCA itu adalah keterlaluan dan biadap.

Beliau yang menyokong kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung perkara itu, berkata, MCA patut mencermin diri sendiri sebelum membuat kenyataan yang tidak wajar.

“Dalam perjuangan, kita kena setia kawan dan bukan menjadi gunting dalam lipatan. Tindakan MCA adalah amat tidak wajar.

“Apa yang dinyatakan oleh Bung Moktar memang betul. MCA perlu cermin diri, kerana dengan kekuatan sendiri mereka tidak mungkin memang kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

“Tanpa BN, MCA bukan siapa-siapa. Kalau bukan kerana undi daripada UMNO, belum pasti calon MCA yang bertanding atas tiket BN akan menang.

“Ini hakikat yang perlu diterima oleh MCA. Justeru jangan sombong dan membuat kenyataan yang tidak wajar terhadap pemimpin kanan UMNO dan BN khususnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sani yang juga Ketua Pemuda BN Bahagian Sipitang mengulas kenyataan MCA yang meminta Ahmad Zahid mengundur diri dan memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai penganti.

Bung dalam kenyataannya semalam menyifatkan gesaan MCA yang mahu Ahmad Zahid supaya berundur sebagai tidak berasas dan tidak cermin diri sendiri.

Katanya, MCA perlu bertanyakan diri sendiri bagaimana hanya boleh menang dua daripada puluhan kerusi yang dipertandingkan dalam PRU-15 lalu.

Jelasnya, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada hanya seorang pemimpin sahaja sedangkan salah sendiri tidak pula diakui selain MCA dilihat tidak menghormati intitusi presiden selaku pucuk pimpinan dalam BN.

“MCA janganlah gesa itu ini macam tu, ini gesa lagi Pengerusi kita berundur apa cerita? Mereka ini tidak sedarkah, hanya dapat menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan pengerusi kepada mereka, itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu”, tegas Bung.

Dalam pada itu, di sebalik kontroversi berkenaan, Sani yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang turut berpendapat ada baiknya Presiden MCA sendiri meletak jawatannya secara terhormat ekoran kegagalan dalam PRU15 lalu.

“Paling relevan, Presiden mereka, Datuk Seri Wee Kah Siong yang sepatutnya meletak jawatan kerana hanya mampu menawan dua daripada 42 kerusi ditandingi.

“Jangan memandai menyalahkan seseorang individu sahaja ibarat satu telunjuk jari ke arah orang namun empat jari menunjuk ke arah sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|