Tiang multi fungsi beri manfaat kepada penduduk bandar raya

Tiang multi fungsi beri manfaat kepada penduduk bandar raya

Kota Kinabalu: Pelancaran Tiang Multi Fungsi (Smart Pole) yang pertama di bandar raya ini diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, setakat ini, sebanyak 21 ‘smart pole’ telah diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Katanya, beliau berharap agar inisiatif seumpama itu akan dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan-kawasan luar bandar.

“Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 21 ‘smart pole’ telahpun diluluskan oleh DBKK, manakala terdapat tujuh yang masih dalam pembinaan.

“Kita berharap kemudahan ini akan dikembangkan lagi ke tempat-tempat lain, khususnya luar bandar seperti Ranau dan sebagainya.

“Ia demi kepentingan rakyat di negeri ini, kita ingin rakyat pedalaman juga menikmati kebaikan seperti ini,” katanya pada sidang media sempena International Symposium on Developing and Managing Water’s Edge City 2022 di Marriott Hotel, di sini, hari ini.

Tiang Multi Fungsi adalah infrastruktur yang mengintegrasikan pelbagai fungsi termasuklah Pencahayaan Pintar, Pemantauan, Pengurusan Trafik, Pengesanan Alam Sekitar, Penghantaran Mesej, Kecemasan, Amaran Bencana dan Telekomunikasi 5G.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima sekitar 50 permohonan pemasangan ‘smart pole’ daripada syarikat-syarikat yang berlesen.

“Sebenarnya, terdapat 50 permohonan yang telah diterima, di mana sebanyak 21 daripadanya telah diluluskan dan selebihnya masih dalam penelitian.

“Permohonan yang diterima ini adalah daripada syarikat yang memang ada lesen. Kita akan meneliti permohonan mereka dan jika mereka layak serta mengikuti garis panduan yang kita tetapkan, maka tidak ada masalah,” katanya.

Sementara itu, Abidin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan simposium antarabangsa itu, berkata, penganjurannya amat bertepatan dengan masa kini.

“Simposium ini penting bagi pelbagai pihak bertukar pendapat di antara mereka, sama ada daripada luar negara mahupun dalam negara, dan mencari satu garis panduan untuk membangunkan bandaraya kita.

“Kita tidak akan fokuskan untuk meningkatkan bandaraya itu sahaja, tetapi yang penting iaitu juga mengambil perhatian terhadap masyarakat, penduduk-penduduk di bandaraya tersebut.

“Kita tidak mahu membangunkan mana-mana bandar dengan ‘mengorbankan’ rakyat, itu yang penting,” katanys.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|