Tiada pertukaran kerajaan negeri, berita tular hanya provokasi, imaginasi

Tiada pertukaran kerajaan negeri, berita tular hanya provokasi, imaginasi

Kota Kinabalu: Pemimpin politik di Sabah menafikan kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan negeri sejajar dengan perkembangan politik semasa di peringkat persekutuan.

Mereka turut menafikan spekulasi yang mengatakan jawatan Ketua Menteri disandang Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor ketika ini bakal diambil alih Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Perkara itu berdasarkan khabar angin berhubung spekulasi berkenaan yang disebarkan di media sosial dan aplikasi Whatsapp, kononnya bakal berlaku perubahan kerajaan dan Ketua Menteri.

Usaha ke arah itu didakwa didalangi pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri, Barisan Nasional (BN), WARISAN dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan portal berita FMT, Presiden STAR yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menafikan khabar angin itu.

“Semua khabar angin kononnya kerajaan Sabah pimpinan Hajiji sekarang akan digulingkan melalui satu pakatan disertai WARISAN, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) adalah tidak benar melainkan hanya provokasi semata-mata.

“Saya tertanya-tanya siapa yang memainkan permainan ini dan apa motif mereka kerana saya sudah tentu tidak terbabit dengan permainan ini yang dimainkan oleh individu tertentu, meski ia benar sekalipun,” katanya seperti dipetik portal berita FMT.

Selain Jeffrey, FMT turut memetik penafian Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking, yang menganggap khabar angin itu tidak lebih sebagai cerita imaginasi yang tidak wujud.

FMT turut melaporkan penafian Naib Presiden PBS, Arthur Sen yang percaya khabar angin itu sengaja disebarkan oleh orang tertentu untuk menghuru-harakan kerajaan GRS-BN, memandangkan ia bukan kali pertama berlaku.

Sementara itu, dalam hal berasingan, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menafikan desas-desus kononnya wakil rakyat parti itu bakal meninggalkan parti dan menyertai parti tempatan.

Tindakan itu didakwa bagi memutuskan hubungan dengan BERSATU yang menjadi pembangkang melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan dan menjadikan GRS benar-benar sebuah gabungan parti tempatan.

“Tidak benar,” jawab Masidi ringkas melalui aplikasi Whatsapp ketika ditanya sejauh mana kebenaran berita berkenaan.

BERSATU Sabah yang turut diketuai Hajiji bergabung dengan PBS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) membentuk GRS yang menjadi gabungan politik rasmi selepas pendaftarannya diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada awal tahun ini.

GRS mengambil pendirian menyokong pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang dibentuknya, sekali gus memutuskan sokongan terhadap PN walaupun parti komponen GRS adalah sebahagian daripada PN.

Setakat ini, hanya STAR mengumumkan keluar daripada PN, meninggalkan SAPP dan BERSATU Sabah masih sebahagian daripada PN yang bernaung di bawah GRS di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|