Tiada maklumat kemasukan banduan Filipina – Polis

Tiada maklumat kemasukan banduan Filipina – Polis

Kota Kinabalu: Polis mengesahkan tiada sebarang maklumat kemasukan banduan yang diklasifikasikan sebagai berbahaya ke daerah Semporna seperti kenyataan tular di aplikasi WhatsApp, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan lanjut berhubung maklumat berkenaan untuk mengenal pasti kesahihannya.

Selain itu katanya, sebagai langkah keselamatan, pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) juga turut meningkatkan pengawasan sempadan supaya tidak dibolosi.

“Setakat ini, tidak ada maklumat kemasukkan (banduan) ke Negeri Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan yang tular, banduan berbahaya terbabit dikenali sebagai Alnazar Jalilul Abdain, berusia 30-an dan berasal dari Pulau Tawi-Tawi, Filipina.

Dia yang dipenjara atas kesalahan membunuh dilaporkan dapat melarikan diri dari Penjara Tawi-Tawi pada 26 September lalu.

Mengikut maklumat tular berkenaan, Alnazar juga dikesan bersama anggota ASG yang juga pengedar dadah rentas sempadan yang dikenali sebagai Haibin Mubin @ Apo Kuhambo @ Haibin Pantasan Hailil @ Sunding yang tersenarai sebagai individu dikehendaki ESSCOM.

Kenyataan itu turut melaporkan berlaku kejadian tembak menembak antara pasukan keselamatan Filipina dan Haibin Mubin sebelum suspek terbabit berjaya ditembak mati.

Alnazar yang dikatakan mendapat maklumat kematian Haibin itu didakwa terus bertindak melarikan diri dengan menaiki bot menuju ke perairan Semporna.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|